Adakah Tuhan itu wujud?
Adakah Tuhan Wujud?
Adakah Tuhan wujud? Adakah bukti kewujudan Tuhan? Yang berikut menerangkan dengan terus terang mengapa ramai orang mempercayai kewujudan Tuhan...
Oleh Marilyn Adamson
Pernahkah anda harap-harapkan agar seseorang akan memberitahu anda dengan terus terang bukti kewujudan Tuhan tanpa memaksa anda mempercayainya?
Jadi saya ingin menyuarakan beberapa sebab mengapa ramai orang percaya bahawa Tuhan wujud. Tetapi, apa yang harus dipertimbangkan ialah jika seseorang itu tidak mahu percaya, tidak kira bukti apapun, maklumat itu tidak akan dapat menukar fikiran orang itu. Orang itu tetap enggan menerimanya.
Alkitab mengatakan bahawa manusia telah melihat bukti yang mencukupi, tetapi mereka memilih untuk menyekat kebenaran tentang Tuhan.1 Bagi mereka yang betul-betul ingin mengetahui sama ada Tuhan wujud, Tuhan mengatakan, "Anda akan mencari dan menjumpai Saya; jika anda mencari Saya dengan segenap hatimu."2 Sebelum anda melihat semua fakta mengenai kewujudan Tuhan, cuba tanyakan sendiri, Jika Tuhan benar-benar wujud, apakah saya sedia mengenali-Nya? Berikutnya adalah beberapa sebab yang anda boleh mempertimbangkan...
1. Kerumitan bumi ini menyatakan bahawa pastilah ada seseorang Pencipta yang bukan sahaja mencipta alam semesta, tetapi juga mengekalkannya sehingga hari ini.
Terdapat banyak contoh yang mencerminkan ciptaan Tuhan yang mengagumkan. Berikut hanyalah beberapa contoh:
Bumi...saiznya sempurna sekali. Saiz Bumi dan daya graviti yang sepadan membolehkan suatu lapisan nipis yang terdiri daripada kebanyakannya gas nitrogen dan oksigen, menjangkau kira-kira 50 batu di atas permukaan Bumi. Jika Bumi lebih kecil, atmosfera tidak dapat terbentuk, seperti planet Utarid (planet terdekat dengan matahari). Jika Bumi lebih besar lagi, atmosferanya akan mengandungi hidrogen bebas, seperti Musytari (planet terbesar)3 Bumilah satu-satunya planet yang diketahui diselaputi atmosfera yang terdiri daripada kombinasi gas yang mampu menyokong kehidupan setiap makhluk di muka Bumi.
Kedudukan Bumi berada pada jarak yang sesuai dari matahari yang suhunya berubah-ubah lebih kurang -30 darjah hingga ke +120 darjah. Jika Bumi lebih jauh dari matahari, kita semua akan kaku kerana kesejukkan. Jika lebih dekat sedikit, Bumi akan terpanggang dan kita tidak akan dapat hidup. Bumi berada pada kedudukan yang tetap dari matahari semasa ia berputar mengelilingi matahari pada kelajuan hampir-hampir 67,000 batu sejam. Ini membenarkan seluruh permukaan Bumi dipanaskan dan disejukan dengan secukupnya setiap hari.
Bulan kita juga dalam saiz yang sempurna dan jarak yang sesuai dari Bumi sepadan dengan tarikan gravitinya. Tarikan graviti antara bulan dan bumi mempengaruhi arus pasang-surut agar air laut bukan sahaja tidak bertakung, air juga tidak melimpah ke benua.4
Air...tiada warna, tiada bau dan tiada rasa. Tetapi tiada hidupan dapat hidup tanpa air. Tumbuh-tumbuhan, binatang dan manusia terdiri daripada kebanyakannya air (lebih kurang dua-pertiga badan manusia adalah air). Anda akan memahami mengapa sifat-sifat air sangat sesuai untuk menampung kehidupan:
Air memiliki titik didih dan titik beku yang tinggi. Ini membenarkan kita hidup dalam persekitaran suhu yang berubah-ubah, semasa mengekalkan suhu badan tetap pada 98.6 darjah.
Air adalah pelarut sejagat. Sifat air ini bermakna beribu-ribu bahan kimia, mineral dan zat makanan dapat diedarkan ke seluruh badan dan ke dalam saluran darah yang kecil.5
Air bersifat neutral dari segi kimia. Tanpa mengubahkan sifat bahan-bahan yang dibawanya, air membolehkan makanan, ubat dan mineral diserap dan diguna dalam badan.
Air memiliki tegangan permukaan yang paling tinggi. Oleh itu air dalam tumbuh-tumbuhan boleh mengalir ke atas menentang graviti, membawa air dan zat ke atas pokok-pokok yang paling tinggipun.
Air membeku dari atas ke bawah dan mengapung. Ini membolehkan ikan hidup pada musim sejuk.
Sembilan puluh tujuh peratus air di Bumi berada di lautan. Tetapi di Bumi, terdapat satu sistem yang menyejat air laut, meninggalkan garam dan membentuk awan yang ditiup dengan senang oleh angin ke merata-rata tempat, untuk kegunaan tumbuh-tumbuhan, binatang dan manusia. Ini merupakan satu sistem penulenan dan pembekalan air yang menampung semua hidupan di Bumi, satu sistem yang mengitarkan semula air.6
2. Kerumitan otak manusia menyatakan bahawa pastilah ada seseorang Pencipta di baliknya.
Perhatikan juga fungsi otak! Otak manusia mampu memproseskan lebih daripada satu juta arahan sesaat.7 Secara serentak otak manusia mengesan apa yang didengar, dilihat, dirasai dan dialami. Otak bukan sahaja mengendalikan semua simpanan dan pemprosesan perasaan, fikiran dan kenangan, otak berupaya mengawal keseluruhan fungsi badan seperti pola pernafasan, gerakan kelopak mata, kelaparan dan gerakan otot tangan.
Otak menilai kepentingan semua data yang diterimanya dan menapis apa yang tidak seberapa penting. Fungsi penapisan inilah yang membenarkan kita hidup dengan berkesan di dalam dunia. Mungkinkah semua fungsi otak ini terjadi secara kebetulan? Mungkinkah otak itu terjadi semata-mata sebab-sebab biologi yang menciptakan tisu, aliran darah dan sistem saraf yang sempurna? Cara otak berfungsi luarbiasa berbanding dengan organ tubuh yang lain. Terasa ada suatu Inteligensi di sebalik ciptaan otak, keupayaan untuk memikir, meluahkan perasaan, merancang, mengambil tindakan, dan berhubung dengan orang lain. Bagaimanakah seseorang dapat menjelaskan kerumitan otak manusia?
3. "Secara kebetulan" atau "sebab-sebab semulajadi" adalah penjelasan yang tidak mencukupi.
Jika kita menganggap bahawa Tuhan tidak wujud, ini bermakna segala sesuatu yang wujud di sekeliling kita adalah dihasilkan secara semulajadi atau secara rawak. Apa yang Pasteur cuba membuktikan beberapa abad yang lalu telahpun disahkan oleh ahli sains hari ini: "Kehidupan berasal dari kehidupan". Ertinya, organisme hidup tidak boleh muncul daripada benda yang tidak hidup. Jika begitu, dari manakah manusia, binatang, dan tumbuh-tumbuhan berasal?
Begitu juga, "sebab-sebab semulajadi" tidak memadai untuk menjelaskan maklumat yang begitu tepat yang terkandung dalam DNA manusia. Seseorang yang berpendapat bahawa Tuhan tidak wujud terpaksa membuat kesimpulan bahawa semua ini terjadi tanpa sebarang sebab, tanpa rancangan, dan hanya merupakan nasib baik walaupun ini sama sekali tidak masuk akal.
4. Seseorang yang menegaskan bahawa Tuhan tidak wujud tidak mengendahkan keghairahan ramai yang yakin Tuhan wujud.
Ini tidak bermakna apa yang dipercayai orang ramai pastilah benar. Misalnya, ahli sains telahpun membuat penemuan baru tentang alam semesta yang menolak kesimpulan yang lalu. Tetapi ketika sains semakin maju, tiada penemuan saintifik yang dapat menolak kemungkinan bahawa suatu Inteligensi wujud di sebalik semua ini. Semakin sains membuat penemuan baru tentang kehidupan dan alam semesta, semakin kita mengetahui betapa rumit semuanya ini. Bukti-bukti semakin menunjukkan bahawa suatu sumber inteligensi memang wujud. Tetapi bukti objektif bukanlah segala-galanya.
Satu isu yang lebih besar ialah sepanjang sejarah, berjuta-juta orang yakin bahawa Tuhan wujud--akibat hubungan peribadi dengan Tuhan. Hari ini, ramai boleh menceritakan pengalaman mereka bersama Tuhan. Mereka biasanya mengatakan doa mereka dijawab Tuhan dan cara-cara yang mengagumkan Tuhan telah memenuhi keperluan mereka dan membimbing mereka ketika membuat keputusan yang penting dalam hidup. Ramai yakin bahawa Tuhan yang Maha Pengasih wujud. Jika anda seorang skeptis, dapatkah anda mengatakan dengan yakin: "Sayalah yang betul tentang Tuhan dan mereka semua pula yang salah"?
5. Kita tahu bahawa Tuhan wujud sebab Dia sentiasa ambil inisiatif untuk menjalin hubungan dengan kita.
Saya seorang ateis buat suatu masa dahulu. Seperti kebanyakan ateis, saya rasa tidak senang mendengar orang mempercayai Tuhan. Mengapa ateis sudi menghabiskan banyak masa untuk menyangkal sesuatu yang mereka sendiri tidak percaya? Apakah yang mendorong mereka? Semasa saya masih seorang ateis, saya berasa kasihan pada mereka yang senang terpedaya...dan ingin menolong mereka menyedari bahawa harapan mereka tidak berasas.
Secara terus-terang, saya juga ada motif yang lain. Ketika saya mencabar mereka yang mempercayai kepada Tuhan, saya ingin tahu sama ada mereka akan cuba memujuk saya untuk mempercayai juga. Sebahagian daripada usaha saya ialah agar saya bebas daripada soalan tentang Tuhan. Jika saya boleh membuktikan kepada mereka yang percaya bahawa mereka bersalah, maka saya tidak perlu menghadapi isu ini dan bebas menjalani hidup saya.
Saya tidak sedar bahawa topik mengenai Tuhan menganggu saya kerana Tuhan menggerakkan hati saya. Sekarang saya mendapat tahu bahawa Tuhan ingin dikenali. Dia menciptakan kita agar kita dapat mengenali-Nya. Di mana-mana sahaja kita lihat, kita melihat bukti bahawa Tuhan wujud. Sebenarnya, pada hari saya memilih untuk mengaku bahawa Tuhan memang wujud, doa saya bermula begini, "Ya Tuhan, Kau menang..." Pada bulan-bulan selepasnya, kasih Tuhan terhadap saya terus mengagumkan saya.
Bukan hanya saya sahaja yang mengalami ini. C.S. Lewis mengatakan bahawa dia mengingati, "...malam demi malam, ketika saya berehat sekejap dari kerja, saya rasa Tuhan terus-menerus menggerakkan saya walaupun saya langsung tidak berminat mengenali-Nya. Saya mengalah dan mengaku bahawa Tuhan adalah Tuhan. Saya melutut dan berdoa: pada malam itu, mungkin saya satu-satunya yang menjadi Kristian dengan perasaan paling enggan di seluruh England. Akibat mengenali Tuhan, Lewis kemudian menulis sebuah buku berjudul, "Surprised by Joy".
6. Lain daripada wahyu Tuhan yang lain, Yesus Kristus memberi gambaran yang paling jelas dan spesifik bagaimana Tuhan mencari kita.
Mengapa Yesus? Lihatlah agama-agama terutama di dunia dan anda akan mendapati bahawa Buddha, Muhammad, Confucius dan Moses semuanya mengaku diri sebagai guru atau nabi. Tiada seorangpun yang mengaku diri sama dengan Tuhan. Tetapi Yesus berbuat demikian. Inilah yang mengasingkan Yesus daripada semua agama yang lain. Dia mengatakan bahawa Tuhan wujud dan anda sedang melihat Dia. Apabila Yesus bercakap tentang Tuhan syurgawi, semua ini berasal dari kesatuan yang sangat intim dengan Tuhan. Yesus mengatakan bahawa sesiapa yang telah melihat Dia, telah melihat Bapa, sesiapa yang mempercayai-Nya, mempercayai Bapa.
Dia mengatakan, "Akulah terang dunia, barangsiapa mengikuti Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi memiliki terang hidup."8 Dia mendakwa memiliki sifat-sifat ketuhanan: dapat mengampunkan orang daripada dosa mereka, membebaskan mereka daripada tabiat dosa, memberikan hidup yang berkelimpahan dan hidup kekal di syurga. Tidak seperti guru-guru lain yang memberi tumpuan kepada kata-kata mereka, tumpuan Yesus adalah diri-Nya sendiri. Dia tidak mengatakan, "ikutlah apa yang saya katakan dan anda dapat mencari kebenaran." Dia berkata, "Sayalah jalan, kebenaran, dan hidup, tiada sesiapa dapat datang kepada Bapa kecuali melalui saya."9
Apakah yang Yesus kemukakan untuk membuktikan ketuhanan-Nya? Yesus melakukan mukjizat, apa yang manusia tidak dapat melakukan. Dia menyembuhkan mereka yang buta, tempang, pekak, malah membangkitkan beberapa orang dari kematian. Dia mampu memberi makan kepada beribu-ribu orang, berjalan di permukaan tasik, dan memerintahkan ribut untuk berhenti. Orang di merata-rata tempat mengikuti Yesus sebab Dia sentiasa memenuhi keperluan mereka, melalui mukjizat-Nya. Dia mengatakan bahawa jika anda tidak percaya kata-kata-Nya, sekurang-kurangnya percayalah mukjizat yang anda dapat lihat dengan mata sendiri.10
Yesus Kristus memperlihatkan sifat-sifat Tuhan Pengasih. Dia menyedari bahawa kita mementingkan diri dan penuh dengan kelemahan. Walaupun mengetahui kita berdosa dan harus dihukum, Tuhan ingin sekali menjalin hubungan dengan kita. Tuhan sendiri turun menjadi manusia dan menggantikan kita menerima hukuman dosa. Lucu? Mungkin, tetapi ramai bapa yang penyayang sudi menggantikan anak mereka yang menghidap kanser jika boleh. Alkitab mengatakan bahawa kita mengasihi Tuhan kerana Dia mengasihi kita terlebih dahulu.
Yesus mati menggantikan kita supaya kita boleh diampunkan. Berbanding dengan agama-agama lain, hanya melalui Yesus anda melihat Tuhan menjangkau manusia agar kita dapat menjalin hubungan dengan Dia. Kerana kematian dan kebangkitan Yesus, Dia menawarkan hidup baru kepada kita. Kita dapat diampunkan, diterima sepenuhnya dan dikasihi oleh Tuhan. Dia mengatakan, "Saya mengasihi anda dengan kasih yang kekal, oleh itu kesetiaan saya terhadap anda adalah teguh."11 Inilah Tuhan kita.
Adakah Tuhuan wujud? Jika anda ingin tahu, selidiklah sendiri. Kita diberitahu bahawa "Tuhan begitu mengasihi dunia sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya sesiapa yang mempercayai-Nya tidak akan binasa tetapi memperolehi hidup kekal."12
Tuhan tidak memaksa kita mempercayai-Nya, walaupun Dia boleh berbuat demikian. Sebaliknya Dia telah memberikan kita bukti kewujudan-Nya yang cukup supaya kita sudi mempercayai-Nya.
Sekarang juga anda boleh memulakan hubungan dengan Tuhan.
Ini merupakan keputusan anda sendiri. Jika anda mahu diampunkan Tuhan, anda boleh meminta Dia mengampunkan anda dan menjemput Yesus masuk ke dalam hidup anda. Yesus berkata, " Lihat, Aku berdiri di muka pintu dan mengetuk; jikalau ada orang yang mendengar suara-Ku dan membukakan pintu, Aku akan masuk mendapatkannya dan Aku makan bersama-sama dengan dia, dan ia bersama-sama dengan Aku."13 Anda boleh berdoa seperti berikut: "Tuhan Yesus, terima kasih kerana mati di salib untuk menebus dosa saya. Engkau tahu segala-galanya tentang hidup saya, betapa perlunya saya diampunkan. Saya meminta Engkau mengampuni saya dan masuk ke dalam hidup saya. Terima kasih kerana Engkau ingin menjalin hubungan dengan saya. Amin."
Jadi, adakah Tuhan wujud? Melihat semua fakta ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa Tuhan memang wujud. Lebih daripada itu, kita boleh mengenali Tuhan secara peribadi.